PANDUAN PENGURUSAN (REKOD AWAM & TANGGUNGJAWAB ANDA)
Di bawah Akta Arkib Negara
2003, rekod awam ertinya rekod yang diterima secara rasmi atau
yang dikeluarkan oleh mana-mana pejabat awam bagi perjalanan
hal ehwalnya atau oleh mana-mana pekhidmat awam atau pekerja
pejabat awam dalam perjalanan tugas rasminya dan termasuk
rekod mana-mana perusahaan Kerajaan dan juga termasuk segala
rekod yang pada permulaan kuat kuasa Akta ini, adalah dalam
jagaan atau di bawah kawalan Akta Arkib Negara Malaysia yang
ditubuhkan di bawah Akta Arkib Negara 1966 [Akta 511].
Dengan kata lain rekod
awam merangkumi apa sahaja maklumat yang tercatat atau
yang direkodkan (recorded information) berhubung dengan
semua tugas atau kerja harian jabatan.
Kepentingan Rekod Awam
Rekod Awam adalah warisan
negara yang mengandungi pelbagai maklumat penting mengenai
pentadbiran dan sejarah negara.
Rekod awam mengandungi ilmu
pengetahuan yang dapat menimbulkan kesedaran kebangsaan.
Rekod Awam merupakan sumber
utama yang penting untuk rujukan oleh kerajaan dan orang ramai.
Rekod Awam mengandungi maklumat
yang boleh menjaga dan melindungi hak serta kepentingan
Kerajaan dan individu.
Memandangkan
rekod-rekod tersebut adalah penting, maka adalah menjadi
tanggungjawab jabatan dan anda untuk menjaga dan
memeliharannya. Ini bersesuaian dengan matlamat Kerajaan
untuk mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap dan
ekonomik menerusi satu sistem pengurusan rekod yang
teratur dan moden di kalangan jabatan-jabatan Kerajaan.
Tanggungjawab Anda Terhadap Rekod
Awam
Mewujudkan rekod-rekod yang
jabatan anda perlukan di dalam urusan harian.
Menentukan supaya rekod-rekod
yang masih diperlukan oleh jabatan disimpan secara sistematik
dan dipelihara dengan baik.
Mengasingkan rekod-rekod yang
tidak lagi diperlukan.
Menghubungi Arkib Negara
Malaysia di atas apa-apa perkara mengenai rekod-rekod yang
tidak diperlukan.
Menyediakan senarai pemindahan
bagi rekod-rekod yang berusia 5 tahun setelah ditutup bagi
menentukan sama ada rekod-rekod tersebut perlu dipindahkan ke
Arkib Negara Malaysia untuk disimpan dan dimusnahkan.
Mempastikan semua rekod
bernilai yang telah berusia 20 tahun semenjak diwujudkan
disenarai dan dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia.
Meminta kebenaran daripada
Ketua Pengarah Arkib Negara untuk pemusnahan rekod-rekod yang
tidak bernilai.
Mendapatkan khidmat nasihat dan
bekerjasama dengan Pegawai-Pegawai Arkib mengenai cara
pengurusan rekod di jabatan anda.
Untuk melaksanakan
kerja-kerja pengurusan rekod yang lebih berkesan, Pegawai
Rekod Jabatan dan Pegawai Kerani Rekod perlulah dilantik.