Pemindahan rekod ialah proses di
mana rekod-rekod dipindahkan dari sesebuah jabatan/agensi
Kerajaan ke Arkib Negara Malaysia. Hanya rekod-rekod yang
tidak aktif dan tidak diperlukan lagi di dalam urusan
pentadbiran harian jabatan tetapi mempunyai nilai-nilai kekal
dan rujukan dipindahkan ke Arkib Negara.
Kenapa Rekod Perlu Dipindahkan
Mempastikan rekod-rekod yang
mempunyai nilai kekal dan sejarah dipelihara dengan lebih
selamat.
Menyimpan rekod-rekod di Arkib
Negara Malaysia adalah menjimatkan perbelanjaan di samping
mengatasi masalah kesesakan ruang simpanan jabatan.
Meningkatkan kecekapan jabatan di
dalam pengurusan rekod di mana hanya rekod-rekod aktif yang
diperlukan untuk urusan pentadbiran sahaja disimpan di jabatan.
Kumpulan Rekod Yang Boleh Dipindahkan
Rekod-rekod yang diwujudkan
merupakan bahan-bahan kimia umpamanya kertas yang mengandungi
asid semasa proses pembuatannya.
Kumpulan-kumpulan rekod
peribadi/perkhidmatan kakitangan jabatan kerajaan.
Rekod-rekod yang bernilai
yang telah mencapai usia lebih dari lima tahun dari tarikh
penutupannya. Keutamaan perlu diberi kepada rekod-rekod yang
telah berusia lebih dari dua puluh tahun.
Rekod-rekod yang telah
dipersetujui untuk dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia
berdasarkan Jadual Pemisahan Rekod Jabatan.
Rekod-rekod terperingkat yang
telah dikelaskan semula tarafnya kepada rekod terbuka dan yang
telah dipersetujui untuk dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia.
Rekod-rekod yang telah
dipersetujui oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia
dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia.
Bagaimana Rekod-Rekod Dipindahkan
Menghubungi
Arkib Negara Malaysia untuk mendapatkan khidmat nasihat
mengenai tatacara pemindahan rekod.
Mengenalpasti
dan mengasingkan rekod-rekod yang tidak aktif daripada
rekod-rekod aktif.
Menyusun
rekod-rekod dengan teratur mengikut siri, nombor yang seturut
atau tahun rekod diwujudkan.
Menyediakan
Senarai Pemindahan Rekod di dalam tiga salinan dengan
memberikan cadangan sama ada rekod-rekod tersebut hendak
disimpan atau dimusnahkan berdasarkan kriteria tertentu.
Memajukan
dua salinan Senarai Pemindahan Rekod ke Arkib Negara Malaysia
untuk tindakan penilaian oleh Arkib Negara Malaysia.
Mendapatkan
keputusan penilaian rekod sama ada rekod-rekod yang telah
disenaraikan dahulu hendak dipindahkan atau dimusnahkan.
Mendapatkan
kebenaran daripada Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia bagi
memindahkan rekod-rekod yang telah dipersetujui untuk disimpan.
Mempastikan
bahawa rekod-rekod terperingkat iaitu rekod-rekod yang telah
dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Pindaan 1986)
diturun tarafkan kepada taraf terbuka dahulu sebelum
dipindahkan.
Memindahkan
rekod-rekod ke Arkib Negara Malaysia. Semasa pemindahan, wakil
jabatan perlu hadir untuk semakan rekod-rekod yang dipindahkan
dan mengesahkan bahawa rekod-rekod tersebut adalah sama
seperti yang disenaraikan.
Bolehkan Rekod-Rekod Tersebut Dirujuk
Rekod-rekod yang telah
dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia boleh dirujuk oleh
jabatan atau agensi berkenaan dengan menggunakan borang
permintaan (Misc 79) yang boleh didapati dari Arkib Negara
Malaysia. Khidmat rujukan ini juga tertakluk kepada 35(1),
Akta Arkib Negara 2003.
Permintaan yang segera juga
boleh dibuat melalui telefon atau faksimili dengan memberikan
tajuk fail dan nombor rujukan rekod yang diperlukan, tetapi
borang permintaan hendaklah juga diisi dan dihantar ke Arkib
Negara Malaysia.
Rekod-rekod yang diminta akan
dikirimkan dengan pos berdaftar atau diambil sendiri.
Rekod-rekod yang dipinjamkan
hendaklah dikembalikan semula ke Arkib Negara Malaysia setelah
digunakan di dalam tempoh sebulan. Jabatan perlu menghubungi
Arkib Negara Malaysia sekiranya tempoh penggunaan rekod
tersebut hendak dilanjutkan.
Rekod-rekod yang dipinjam tetapi
tidak dikembalikan semula di dalam tempoh tiga bulan dari
tarikh pinjaman akan dibatalkan daripada senarai pemindahan.