Rekod-rekod
yang diwujudkan oleh Jabatan Kerajaan yang mempunyai
nilai-nilai kekal dan sejarah merupakan warisan negara.
Rekod-rekod ini amat penting sebagai bahan bukti dan sumber
rujukan yang boleh digunakan oleh Kerajaan, penyelidik dan
generasi akan datang.
Rekod-rekod mudah dirosakkan oleh
agen-agen perosak jika tidak dipelihara dengan cermat dan akan
membawa kerugian kepada negara.
Apa Dia Musuh-Musuh Rekod
Musuh-musuh rekod adalah semua
agen perosak yang disebabkan oleh faktor-faktor fizikal,
biologikal, kimiawi dan manusia.
1. Faktor Fizikal
Tempat Simpanan
Tempat simpanan yang tidak sempurna adalah merupakan
salah satu agen perosak rekod seperti bangunan yang
diperbuat dari kayu dan mudah terbakar, dimasukki air,
serangga serta juga tidak mempunyai sistem peredaran udara
yang baik dan sistem penyimpanan yang tidak teratur.
Cahaya, Suhu dan Kelembapan.
Rekod-rekod yang sering terdedah kepada cahaya dan mudah rosak,
pecah dan bertukar warna manakala suhu yang terlalu tinggi
menyebabkan rekod mudah berkedut dan hancur. Kelembapan
bandingan (relative humidity) yang tinggi pula menggalakkan
pertumbuhan cendawan dan kulat pada rekod-rekod tersebut.
Habuk
Habuk yang terkumpul di tempat simpanan rekod di mana
kelembapan bandingannya tinggi akan menggalakkan pertumbuhan
cendawan dan kulat. Butiran-butiran halus dan tajam pada habuk
merosakkan kertas dan rekod yang lain terutama sekali
mikrofilem dan pita magnetik. Habuk juga mengandungi bakteria
yang merbahaya kepada manusia.
Bencana Alam Banjir, peperangan, kebakaran, gempa bumi dan bencana-bencana
alam yang lain adalah juga merupakan agen-agen perosak rekod.
2. Faktor Biologikal
Terdiri daripada binatang/serangga
perosak seperti tikus, anai-anai, lipas, gegat dan
binatang-binatang perosak yang lain. Ia akan menyerang
rekod-rekod yang disimpan di tempat simpanan yang tidak
terurus, lembap, sesak dan kotor. Kulat dan cendawan juga
merupakan agen perosak rekod.
3. Faktor Kimiawi
Rekod-rekod yang diwujudkan
merupakan bahan-bahan kimia umpamanya kertas yang mengandungi
asid semasa proses pembuatannya.
Begitu juga dakwat dan
bahan-bahan kimia lain yang digunakan ke atas rekod-rekod
daripada jenis-jenis yang berlainan. Sekiranya rekod-rekod ini
tidak dipelihara dengan sempurna, bahan-bahan kimia di
dalamnya akan bertindakbalas dengan alam sekitar dan akan
merosakkan rekod. Pencemaran udara terutamanya yang berpunca
daripada asap kilang-kilang perindustrian dan kenderaan, di
dalam jangkamasa panjang akan mendatangkan kesan buruk ke atas
rekod.
4. Faktor Manusia
Manusia adalah perosak utama
kerana kebanyakan kerosakan ke atas rekod adalah berpunca
daripada kelalaian manusia menguruskannya. Ia Boleh terjadi
apabila rekod-rekod dikendalikan dengan kasar, tidak disimpan
dengan baik dan tidak dipelihara dengan selamat.
Cara-Cara Pemeliharaan Rekod
Tempat simpanan rekod mestilah
terdiri daripada bangunan yang sesuai dan selamat yang
mempunyai ciri-ciri berikut :
Kedudukannya hendaklah di atas
paras banjir dan tidak ada saluran air yang merintangi tempat
simpanan rekod untuk mengelakkan sebarang kebocoran dan banjir.
Bahan-bahan binaan yang kukuh,
bermutu tinggi, tidak mudah terbakar dan diresapi air.
Dilengkapi dengan sistem
pencegahan kebakaran seperti alat-alat pengesan asap dan haba,
sistem semburan automatik, loceng amaran kebakaran, pintu
rintangan api dan sebagainya.
Mempunyai sistem pendawaian
elektrik yang selamat.
Tempat simpanan rekod
memerlukan peredaran udara yang baik dengan suhu yang sesuai
iaitu di antara 15ºC-18ºC dan kelembapan bandingannya ialah
55%-65%. Sekiranya tempat simpanan rekod tidak mempunyai alat
hawa dingin, kipas bolehlah digunakan untuk mendapatkan
peredaran udara yang sempurna.
Tempat simpanan rekod perlulah
dibersihkan selalu dengan menggunakan pencuci hampagas
sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Rekod perlu disimpan di atas
rak dan disusun kemas mengikut jenis-jenis rekod bagi
memudahkan peredaran udara dan pengesanan kembali rekod-rekod
tersebut.
Rekod yang terkena air
hendaklah dikeringkan dengan menggunakan kipas dan tidak boleh
dijemur di bawah sinaran matahari. Rekod yang berlapuk,
berkulat dan sebagainya hendaklah dibersihkan.
Rekod yang koyak tidak boleh
ditampal sesuka hati den perlu menggunakan pelekat atau gam
yang sesuai. Mana-mana kertas atau lampiran yang tertanggal
hendaklah dimasukkan semula ke dalam fail dengan segera.
Berdasarkan Akta Arkib Negara
2003 dan Surat Pekeliling Am. Bil. 1/1997 iaitu mengenai
Pemeliharaan Rekod-rekod Kerajaan dan Arahan Perkhidmatan Bab
5, jabatan-jabatan kerajaan perlu mematuhi peraturan tersebut
bagi memastikan rekod-rekod kerajaan dipelihara dengan selamat.