PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA SARAWAK DILULUSKAN
Posted by fatimah on 18/07/2013 14:34:48
Pada hari ini dalam tahun 2005, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya  negeri Sarawak dengan pertambahan sembilan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi kawasan Parlimen. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli bin Ngah Talib menyatakan bahawa  usul persempadanan semula itu diluluskan melalui undi belah bahagian dengan 185 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 14 lagi tidak mengundi. Usul berkenaan  membabitkan draf perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sarawak) 2005 yang dibentangkan pada 23 Jun 2005  dan Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 8 Jun 2005 mengenai persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri Sarawak.   Dengan persempadanan semula itu, negeri Sarawak akan mempunyai 31 kawasan Parlimen dan 71 kawasan DUN berbanding sekarang iaitu sebanyak 28 kawasan  Parlimen dan 62 kawasan DUN.   Sembilan kawasan DUN baru yang dicadangkan itu ialah Opar, Kota Sentosa, Lingga, Balai Ringin, Bukit Saban, Daro, Bekenu, Pujut dan Batu Danau, manakala tiga kawasan Parlimen membabitkan Igan, Sibuti dan Limbang.  Kali terakhir kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dibuat bagi negeri Sarawak ialah pada 6 Mac 1996.