MUZIUM BARU ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DIRASMIKAN
Posted by pauziah on 04/09/2012 14:19:33

Pada hari ini dalam tahun 1985, Muzium Angkatan Tentera Malaysia yang baharu dirasmikan pembukaannya oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato Ghazali Mohd Seth. Muzium Angkatan Tentera yang baru itu merupakan Muzium Lama yang telah diubahsuai dan diberi wajah baru setelah berlaku pengubahsuaian dari segi bangunan dan ruang simpanan, pameran serta berlaku penambahan dari segi bahan-bahan simpanan. Bangunan tersebut mengandungi 12 ruang merangkumi berbagai skop pameran seperti peranan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Peranan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Peranan Tiga Khidmat di Sabah dan Sarawak, Peranan Tiga Khidmat di Semenanjung serta jentera dan peralatan tentera. Di dalam ucapan perasmiannya, Jeneral Tan Sri Ghazali selaku Pengerusi Muzium Angkatan Tentera menyeru kepada sesiapa yang menemui bahan-bahan berkaitan dengan Angkatan Tentera Malaysia supaya menyerahkan kepada pihak Muzium untuk disimpan sebagai khazanah negara. Bersempena dengan perasmian Muzium ATM yang baru ini satu pameran bertemakan 'Peranan Angkatan Tentera Dalam Pembangunan dan Keselamatan Negara' diadakan yang akan berjalan selama 3 bulan. Tujuannya ialah untuk mendekatkan masyarakat dengan tentera agar mereka dapat memahami segala pengorbanan pasukan bersenjata dalam mempertahankan negara. Turut hadir pada upacara bersejarah ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Abang Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Dato Mohd Yusof Abdul Rahman, Panglima Kor Tentera Darat dan ketiga-tiga bekas Panglima Angkatan Tentera terdiri daripada Jeneral (B) Tan Sri Tunku Osman Jewa, Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Bidin dan Jeneral (B) Tan Sri Ibrahim Ismail.  Sesungguhnya perasmian Muzium Angkatan Tentera yang baru ini melambangkan kejayaan Angkatan Tentera bukan sahaja dalam perjuangan bersenjata tetapi juga di dalam mengenengahkan warisannya untuk tatapan generasi akan datang.