PERBADANAN PEMASARAN PADI DAN BERAS DITUBUHKAN
Posted by on 15/09/2008 09:53:15

Pengurusan yang teratur dan kemas kini akan dapat melancarkan satu-satu aktiviti yang akan dijalankan. Dalam usaha memperbaiki pemasaran padi serta menambah pendapatan para pesawah pihak Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Pemasaran Padi dan Beras. Perbadanan ini telah ditubuhkan pada 1 Februari 1967, bertempat di Ibu Pejabat FAMA, Kuala Lumpur. Berucap semasa melancarkan penubuhan perbadanan ini Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama Tuan Haji Ghazali Jawi berkata, Perbadanan bukanlah bertujuan mencari keuntungan tetapi untuk menjalankan dasar-dasar kerajaan tentang pemasaran padi dan juga supaya harga padi dapat dikawal pada kedudukan yang boleh menguntungkan para petani. Penubuhan perbadanan ini hasil daripada usaha-usaha pihak Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA) yang telah membuat kajian sebelum ini berkaitan dengan pemasaran padi. Bagi melicinkan pentadbiran perbadanan ini ahli Lembaga Perbadanan telah dilantik yang terdiri daripada lima orang wakil-wakil Kerajaan dan dua hingga enam orang wakil orang ramai. Pengerusi Lembaga yang pertama ialah Encik Abdul Aziz bin Haji Yassin. Usaha-usaha yang dijalankan oleh perbadanan telah dapat mengawal harga padi pada harga yang munasabah dengan ini golongan pesawah telah mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada Kerajaan.