PELANCARAN TV WARNA
Posted by on 11/09/2008 16:32:11

Perkembangan di bidang penyiaran pesat berkembang di negara ini, salah satu daripada alat perantara penyiaran di negara ini ialah Televisyen. Di bawah Kementerian Penerangan usaha-usaha telah dijalankan bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat di negara ini. Salah satu perkembangan yang pesat pada bidang ini ialah pelancaran TV Warna. Majlis Pelancaran TV Warna ini dilancarkan sempena genap 15 tahun usia siaran TV di Malaysia pada 28.12.1978. Rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna ialah program Puspawarna yang disiarkan secara langsung.  Berucap semasa merasmikan Pelancaran TV Warna di Auditorium Besar Angkasapuri, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn berharap pihak TV dapat memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat, terperinci serta jelas dan bertanggungjawab terutamanya untuk mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Dalam masyarakat moden hari ini penyiaran terutama TV cukup penting sekali sebagai penyampai maklumat, apatah lagi yang berbentuk siaran langsung kepada rakyat. Hari ini dengan adanya stesen TV swasta limpahan maklumat semakin berkembang kepada rakyat dan ini boleh menjayakan usaha-usaha Kerajaan membentuk masyarakat yang bermaklumat.