PENUBUHAN LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH (KETENGAH)
Posted by pauziah on 21/02/2012 12:48:26

Pada hari ini dalam tahun 1973 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah ditubuhkan di bawah Akta Parlimen Bil. 104/1973.  Lembaga ini ditubuhkan bertujuan untuk membangunkan kawasan seluas 443.945 hektar meliputi daerah-daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu di Negeri Terengganu.  Untuk tujuan ini telah memperincikan bidang tugasnya seperti bidang pembangunan pertanian, pembangunan perindustrian dan perdagangan, pembangunan bandar dan pembangunan infrastruktur.  Dalam bidang pembangunan pertanian KETENGAH melaksanakan beberapa projek pertanian melalui usahasama atau anak syarikatnya seperti KETENGAH Jaya Sdn. Bhd., KETENGAH Perwira Sdn. Bhd. dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. yang  semuanya mengusahakan ladang kelapa sawit.  Dalam bidang pembangunan industri estet-estet perindustrian telah diusahakan oleh syarikat-syarikat usahasama dan anak syarikat KETENGAH seperti Kilang Sawit Panji Alam Sdn. Bhd., Kuari Pondok Harimau Sdn. Bhd. serta beberapa kuari dan estet kelapa sawit yang lain.  Sementara dalam bidang pembangunan bandar sebanyak 5 buah bandar baru telah dirancang iaitu Durian Mas, Rasau, Kerteh, Bukit Besi, Hulu Chukai dan Cheneh.  Selain itu projek-projek pembentungan infrastruktur juga dilaksanakan seperti bekalan elektrik dan air serta jalanraya yang menghubungi bandar-bandar baru dengan kawasan utara dan di selatan KETENGAH seperti lebuhraya Jerangau-Jabor.  Dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pada hari ini dalam tahun 1973 telah berjaya menggerakkan perancangan yang rapi dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar.