PERASMIAN MUZIUM NEGERI KEDAH
Posted by hasfiza on 11/01/2012 15:05:44

Pada hari ini dalam tahun 1957, Muzium Negeri Kedah yang bertempat di tingkat bawah Balai Besar, Alor Setar, Kedah telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Tan Sri Tunku Ismail bin Tunku Yahya (Tunku Indra Setia). Muzium ini yang pada masa itu dikenali sebagai Muzium Sejarah Negeri Kedah telah diketuai oleh YM. Tunku Nong bin Tunku Mohd. Jiwa iaitu Yang Dipertua Persatuan Sejarah Negeri Kedah. Pada tahun 1961, muzium ini telah dipindahkan ke bangunan sekarang ini yang terletak di Bakar Bata, Alor Setar. Bangunan ini telah dibina dalam tahun 1959 dan reka bentuk bangunan ini telah dibuat oleh Prof. Galia, arkitek dari Jabatan Kerja Raya. Muzium Negeri ini telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpul, menyimpan serta melindungi hasil-hasil peninggalan budaya negeri Kedah. Dalam masa yang sama ia juga bertanggungjawab menyebarkan maklumat berkenaan bahan-bahan muzium itu kepada orang ramai. Pameran yang ditunjukkan adalah dalam bentuk diorama yang dibahagikan kepada sejarah kebudayaan, sejarah ilmu kejadian, kaji purba dan industri utama tempatan. Tahun demi tahun Muzium Negeri Kedah ini telah mengalami banyak perubahan dan perkembangan. Dalam tahun 1968 bangunan tambahan telah dibina untuk menambahkan ruang pameran. Seterusnya Muzium Negeri Kedah ini telah membuka dua buah cawangannya iaitu Balai Seni Negeri Kedah dan Muzium Diraja yang mempunyai bangunan masing-masing terletak di Medan Bandar Alor Setar iaitu di belakang bangunan Balai Besar. Kedua-dua bangunan ini telah dirasmikan serentak pada 25 Julai 1983, oleh DYMM Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Balai Seni ini mempamerkan semua jenis lukisan lama dan moden khasnya oleh para pelukis dari negeri Kedah. Selain dari itu dipamerkan juga hasil kraftangan, alat-alat muzik, seni ukir dan lain-lain bentuk kesenian negeri. Manakala Muzium Diraja mempamerkan koleksi Dirajanya.