JAMBATAN SULTAN ABU BAKAR DIRASMIKAN
Posted by pauziah on 30/11/2011 09:05:53

Pada hari ini dalam tahun 1970, Sultan Pahang DYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah telah merasmikan pembukaan Jambatan Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang.  Jambatan yang merentangi Sungai Pahang ini dinamakan Jambatan Sultan Abu Bakar mengambil sempena nama baginda.  Jambatan sepanjang 600 meter ini, menghubungkan Peramu (lebih dikenali Pekan Seberang) dan Kampung Mengkasar, yang terletak berhampiran dengan bandar Pekan.  Pembinaan Jambatan Sultan Abu Bakar ini menelan belanja sebanyak $2.5 juta.  Kerja-kerja pembinaan dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya, Pahang.  Pembinaan jambatan ini bermula pada pertengahan tahun 1968 dan siap menjelang tahun 1970.  Bagi menampung kos pembinaan jambatan tersebut sebuah tol plaza telah dibina.  Kadar tol yang dikenakan ialah $1/- untuk sebuah motokar dan $2/- untuk setiap lori yang menggunakan jambatan ini.  Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Abu Bakar ini, penduduk-penduduk Pekan terpaksa menggunakan Feri (Pontoon) sebagai alat perhubungan bagi merentasi Sungai Pahang.  Perjalanan menggunakan feri ini mengambil masa yang agak panjang, malah membahayakan terutama pada musim banjir.  Oleh itu perasmian Jambatan Sultan Abu Bakar pada hari ini dalam tahun 1970, begitu bermakna kepada penduduk-penduduk di daerah Pekan khususnya.  Ianya bukan sahaja memudahkan perhubungan malah menjamin keselamatan untuk menyeberangi Sungai Pahang.