PERASMIAN ’THE ROYAL MINT OF MALAYSIA’
Posted by azilawani on 30/11/2011 09:00:00

Pada hari ini dalam tahun 2000, YAB Perdana Menteri, Dato’  Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah merasmikan ‘The Royal Mint of Malaysia’, syarikat penempaan duit syiling dan memulakan pengeluaran duit syiling emas bulion Malaysia yang pertama di Shah Alam, Selangor. The Royal Mint adalah anak syarikat Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. yang ditubuhkan khas untuk mengendalikan operasi Kilang Wang sejak penswastaannya diberikan kepada Mariwasa, pada bulan Oktober 1998. Duit syiling bulion emas ini dinamakan ''Kijang Emas Malaysia'' adalah sempena dengan rupa bentuk kijang yang tertera di permukaan hadapannya yang juga merupakan  lambang Bank Negara Malaysia.  ''Kijang Emas Malaysia'' iaitu duit syiling emas bulion Malaysia yang pertama akan berada di pasaran mulai pertengahan Januari 2001 dan  akan dikeluarkan dalam tiga saiz iaitu satu auns, setengah aun dan satu perempat aun serta diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan harga jualan  adalah bergantung kepada nilai emas di pasaran semasa. Sesungguhnya  dengan pengeluaran duit syiling bulion emas yang pertama dikeluarkan pada hari ini, ia akan menjadi titik tolak potensi Malaysia untuk mengeluarkan duit syiling untuk negara lain dan untuk pasaran dunia.