PEMBINAAN DAN PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD
Posted by azilawani on 18/11/2011 10:55:42

Pada hari ini dalam tahun 1896, Bangunan Kerajaan yang dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di Kuala Lumpur di buka dengan rasminya oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Mr. Charles b. Mitchel.

 

Pada tahun 1893, Kerajaan Inggeris di Negeri Selangor telah mula menjalankan usaha untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya. Tapak yang sesuai untuk bangunan ini telah dipilih berhampiran dengan pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. C.E. Spooner, Jurutera Negeri Selangor yang ditugaskan melukis pelan Bangunan itu telah membentangkan cadangan pembinaan bangunan tersebut kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu Sir Frank Swettenham. Cadangan awal pembinaan Bangunan Kerajaan yang mengandungi Pejabat Pos Besar, Jambatan Gombak dan Pejabat Pos Besar, Jambatan Gombak dan Pejabat Keretapi dengan anggaran sebanyak $152,000/= telah ditolak oleh Gabenor.

 

Kemudian A.C. Norman, arkitek British di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur telah di minta meneruskan tugas C.E.Spooner berpandukan kepada bentuk bangunan yang asal. Kerja-kerja pembinaan pula dijalankan pada awal tahun 1895 dan ini terlewat daripada jadual asal kerana kelewatan sampai bahan-bahan binaan yang dibawa masuk dari Bombay. Proses pembinaan itu memakan masa lebih dari satu tahun dan pada hari ini dalam tahun 1895, Bangunan Pejabat Kerajaan yang indah terseragam siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat. Sir Charles B. Mitchel. Bangunan yang dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad ini adalah mengambil nama Baginda Sultan Selangor yang memerintah ketika itu.

 

Dilihat dari segi senibina, Bangunan ini memperlihatkan ciri-ciri senibina Islam. Kubah yang disalut dengan tembaga dan diwarnakan dengan warna hitam itu adalah menyerupai seni binaan Taj Mahal di India. Tingkap-tingkap dan pintu-pintu yang berbentuk melengkong atau ’arch’ itu menyerupai seni bina masjid di Cardova dan di Mesir. Dua buah menara berbentuk kubah yang seolah-olah mengapit dan mengimbangi kedudukan menara Jam itu menghasilkan pemandangan yang indah. Menara kecil berbentuk kubah yang terletak dihadapan menara jam yang kelihatan seperti anjong adalah menyerupai Masjid di India. Pada keseluruhannya bangunan ini menggambarkan identiti budaya orang-orang Melayu yang banyak berteraskan agama Islam.

 

Sejak Bangunan Sultan Abdul Samad dibuka pada hari ini dalam tahun 1896, ia telah dijadikan pusat pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu., Pejabat Resident-General, Pejabat Pos Besar. Apabila negara mencapai kemerdekaan ia dijadikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, majlis Mesyuarat Negeri Selangor dan Perbendaharaan Kerajaan. Pada masa ini bangunan itu digunakan oleh Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Pos Besar. Dihadapan bangunan ini juga upacara-upacara kebangsaan terutamanya upacara menyambut Hari Kebangsaan biasa diadakan. Disini DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan pemimpin-pemimpin membalas tabik hormat daripada kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian dalam perbarisan menyambut Hari Kebangsaan. Sesungguhnya Bangunan Sultan Abdul Samad ini selain daripada keindahan senibinanya, ia melambangkan keperibadian bangsa dan budaya negara yang berteraskan kepada budaya bumiputera yang rata-rata beragama Islam. Makanya, bangunan ini dilindungi oleh Akta Antikiti atau ’Antiquities Act’.