PERJANJIAN MENAMATKAN PEMOGOKAN PEKERJA KERETAPI DI TANAH MELAYU
Posted by pauziah on 15/11/2011 14:13:18

Pada hari ini dalam tahun 1963,  satu perjanjian telah ditandatangani untuk menyelesaikan mogok pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu yang telah berjalan selama tigapuluh tiga hari.  Pihak pentadbiran Keretapi Tanah Malayu telah diwakili oleh Pengurus Besar, Dato Ahmad Perang sementara pihak-pihak pekerja telah diwakili oleh Yang DiPertua Persatuan Pekerja Keretapi, Donald Uren.  Upacara menandatangani ini telah diadakan di Pejabat Menteri Pengangkutan, Dato Sardon Haji Jubir dan disaksikan oleh Proffesor Ungku Abdul Aziz yang menjadi orang perantaraan dalam sengketa Keretapi Tanah Melayu ini.  Pemogokan pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu yang dimulakan pada 22hb Disember 1962 ini merupakan tindakan perusahaan yang terbesar di negara ini dan hampir melumpuhkan sistem pengangkutan Persekutuan Tanah Melayu.  Seramai empatbelas ribu orang pekerja telah mengambil bahagian dan ini telah memberhentikan kesemua bentuk perkhidmatan keretapi negara ini.  Tindakan perusahaan ini diambil  kerana pihak Pentadbiran Keretapi enggan menerima tuntutan-tuntutan pihak pekerja.  Antara lain mereka menuntut kenaikan gaji, pengambilan pekerja harian sebagai pekerja gaji bulanan dan pemotongan gaji untuk yuran persatuan.  Akibatnya beribu-ribu penumpang telah mengalami kesusahan dan sebanyak duapuluh ribu (20,000) tan barangan ekspot dan impot terlonggok di gudang-gudang dan di Pelabuhan Kelang.  Keadaan ini bertambah buruk apabila tujuhpuluh tiga (73) buah kesatuan pekerja Perkhidmatan Awam, Kesatuan Pekerja Elektrik Negara dan Malayan Trade Union Congress (MTUC) memberi sokongan kepada pekerja-pekerja Keretapi.  International Confederation of  Free Trade Union turut juga campurtangan dengan memberi bantuan kewangan dan sokongan.  Percubaan-percubaan untuk menyelesaikan mogok itu gagal bila pihak Persatuan Pekerja Keretapi dan Pentadbiran enggan membuat perundingan.  Masuk kehari keempatbelas pemogokan, Proffesor Ungku Abdul Aziz, Dekan Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, akhirnya telah dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk menjadi orang perantaraan.  Hasil daya usaha Proffesor Ungku Aziz, kedua belah pihak telah mengadakan perbincangan di Universiti Malaya pada 12 Januari 1963, tetapi beliau gagal mendamaikan pihak yang bersengketa hinggalah membawa Menteri Kewangan, Tan Siew Sin turut campurtangan.  Walau bagaimanapun keadaan tidak berubah juga dan ini telah memaksa Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk campurtangan pada 16 Januari. Pada 20 Januari 1962, Proffesor Ungku Abdul Aziz akhirnya berjaya membawa pihak Persatuan Pekerja Keretapi dan Pentadbiran kearah persefahaman.  Pihak Pentadbiran sanggup menerima sambilan puluh peratus (90%) tuntutan pihak pekerja dan ini telah diterima oleh Persatuan Pekerja Keretapi.  Antara lain Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu akan memberi kenaikan gaji, mengiktiraf pekerja-pekerja sebagai kakitangan kerajaan dan mengambil pekerja-pekerja harian sebagai pekerja-pekerja bergaji bulanan.  Butir-butir persetujuan ini kemudian telah dijadikan dokumen perjanjian yang ditandatangani dengan rasminya pada hari ini dalam tahun 1963.  Dengan ini berakhirlah pemogokan itu yang telah berlanjutan selama sebulan dan bermulalah perkhidmatan pengangkutan keretapi seperti biasa.