TENGKU ANOM RAJA KUBANG PASU DI NEGERI KEDAH MANGKAT
Posted by hasfiza on 14/11/2011 12:44:16

Pada hari ini dalam tahun 1853, Tengku Anom bin Tengku Abdul Rahman iaitu Raja Kubang Pasu di negeri Kedah telah mangkat. Almarhum Tengku Anom adalah cucunda kepada Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah, Sultan Kedah Darul Aman yang ke 19. Tengku Anom yang diberi gelaran Tengku Paduka Raja Jambangan telah dikurniakan daerah Kubang Pasu oleh Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Pengurniaan ini adalah kerana jasa-jasa Tengku Anom yang tidak ternilai terhadap negeri Kedah semasa Kedah dikuasai oleh Raja Ligor. Tengku Anom telah dilantik sebagai Raja Penghantar Bunga emas ke negeri Siam. Di bawah kuasa Raja Ligor, pertempuran sering berlaku diantara orang-orang Kedah dengan orang-orang Siam yang berada di negeri Kedah. Ini menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa berundur ke negeri Melaka. Di masa ketiadaan sultan, pembesar-pembesar dan pahlawan-pahlawan negeri Kedah yang diketuai oleh Tengku Anom telah menyerang orang-orang Siam di Alor Ganu dekat Anak Bukit di Alor Setar. Dengan kebijaksanaan Tengku Anom pihak musuh mengalami kekalahan. Raja Ligor iaitu Chao Phya Nongkon Sri Tamrat telah menyerahkan negeri Kedah kepada Tengku Anom untuk diperintah. Tengku Anom telah menyusun semula pentadbiran negeri Kedah, kerana Sultan masih berada di Melaka. Walaubagaimanapun Tengku Anom telah menyerahkan pemerintahan negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah apabila baginda kembali semula ke negeri Kedah. Oleh kerana jasa Tengku Anom inilah maka Sultan telah menganugerahkan Kubang Pasu kepadanya. Setelah 17 memerintah Tengku Anom pun mangkat pada hari ini dalam tahun 1853. Beliau telah digantikan oleh cucundanya Tengku Ishak bin Tengku Muhammad. Setelah 10 tahun memerintah  Tengku Ishak telah menyerahkan semula pentadbiran Kubang Pasu kepada Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah III Sultan negeri Kedah Darulaman yang ke 23.