Pada hari ini dalam tahun 1995, telah berlangsung upacara menandatangani Perjanjian Pembangunan Tanah Industri Tanjung Malim di antara kerajaan Negeri Perak, Hicom dan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) di Shah Alam. Kerajaan Negeri Perak telah diwakili oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Ramli Ngah Talib, Hicom oleh Presidennya Tan Sri Jamil Rais Mohd Jan dan Proton oleh Pengarah Urusan, Datuk Nadzmi Mohd Salleh. Seluas 1,260 hektar kawasan akan dimajukan sebagai kawasan industri berat yang terbesar dan terutama di negara ini dengan pembinaan kilang kedua Proton. Proton menggunakan tanah seluas 800 hektar dikawasan berkenaan, manakala 400 hektar lagi digunakan oleh Hicom untuk projek kilangnya. Pada majlis tersebut Pengarah Urusan Proton, menyatakan bahawa kilang kedua Proton ini akan mula beroperasi pada tahun 1999, yang berkeupayaan meningkatkan pengeluaran sehingga 500,000 unit kereta setahun. Hicom dan Proton juga akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tapak kilang, dataran ujian, institut latihan automatif, tapak kilang vendor, kawasan perumahan dan kawasan rekreasi di tapak perindustrian tersebut. Sesungguhnya perjanjian ini telah membawa kepada perasmian pecah tanah tapak Proton oleh YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Mac 1996.