PEMBUKAAN JALAN KERETA API PERAI
Posted by azilawani on 19/09/2011 16:00:37

Pada hari ini dalam tahun 1903, Jalan Kereta api Perai, di Seberang Perai telah dibuka. Pembukaan ini mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam kemajuan pengangkutan kereta api Tanah Melayu. Ini kerana dengan terbukanya jalan kereta api Perai, bahagian Pantai Barat Tanah Melayu, kini mempunyai rangkaian induk jalan keretapi yang menghubungkan Perai dengan Seremban yang jaraknya kira-kira 450 kilometer. Ia juga menyempurnakan rancangan pihak Pentadbiran keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk mewujudkan laluan terus kereta api antara bahagian utara dan selatan Semenanjung. Jalan kereta api antara Perai dengan Seremban dibina secara berperingkat-peringkat. Pembinaan jalan kereta api Perai bermula dalam tahun 1899 menghubungkannya dengan Bukit Mertajam. Ia kemudian disambung ke Nibong Tebal dan dalam tahun 1902 bertemu dengan rangkaian kereta api negeri Perak.  Dalam tempoh yang sama, jalan kereta api di Selangor turut dimajukan. Dalam tahun 1897, jalan kereta api antara Pudu, Sungai Besi dan Kajang telah dibuka. Kerja-kerja membina jalan kereta api antara Kajang- Seremban pula dimulakan dalam tahun 1899. Pada tahun 1902, jalan kereta api hingga ke sempadan Negeri Sembilan selesai disiapkan. Pada tahun 1903, bersama-sama pembukaan jalan kereta api Perai, jalan kereta api Seremban juga mula digunakan. Sejarah pengangkutan kereta api Tanah Melayu bermula dalam tahun 1855, apabila jalan kereta api pertama dari Taiping ke Port Weld dibuka. Ekoran daripada itu, dibina pula jalan kereta api yang menghubungkan Ipoh, Tanjong Rambutan dan Chemor. Ia kemudian bersambung ke Sungai Siput dan pada tahun 1898 sampai ke Enggor. Rangkaian kereta api negeri Perak ini disambung pula dengan jalan keretapi Selangor iaitu antara Kuala Kubu, Tanjung Malim dan Tapah Road dalam tahun 1903. Pembukaan jalan kereta api Perai pada hari ini dalam tahun 1903 menjadikan perkhidmatan keretapi bertambah terkenal di kalangan rakyat di samping memudahkan lagi pengangkutan hasil ekonomi negara.