KUASA LETRIK DARI SYESYEN JANALETRIK WAP MALIM NAWAR MULA DIGUNAKAN
Posted by azilawani on 13/09/2011 08:36:05

Tarikh Peristiwa : 10-12-1928


 

          Pada hari in dalam tahun 1928, Stensyen Janaeletrik Wap Malim Nawar yang didirikan untuk memenuhi keperluan tenaga letrik khasnya di lombong-lombong bijih timah telah mula digunakan.

 

          Stesyen Janaeletrik Wap Malim Nawar ini adalah satu-satunya stesyen janaeletrik yang terawal didirikan di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Pembinaannya telah dirancang hasil daripada rundingan-rundingan di antara Messrs Armstrong Whitworth and Company dengan Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Murshidu’al-adzam Shah, dalam tahun 1925. Satu perjanjian telah ditandatangani untuk memulakan projek stesyen janaeletrik haidro yang boleh mengeluarkan kuasa sebanyak 18,000 kw di Sungai Perak berhampiran dengan bandar Lenggong.

 

          Berikutan dengan perjanjian tersebut ’The Perak River Hydro-Electric Power Company Limited’ telah ditubuhkan dalam tahun 1926 dengan modal sebanyak $3,600.000. Syarikat tersebut telah memulakan projek stesyen janaeletrik yang boleh mengeluarkan kuasa sebanyak 6,000 kw di Malim Nawar. Arang batu dari Rawang telah digunakan sebagai bahan api untuk menjalankan 4 buah loji wap di stesyen itu.

          Dalam tahun 1930, stesyen janaeletrik Chenderoh telah mula digunakan. Bekalan eletrik dari Chenderoh telah dapat menampung keperluan pada masa itu. Dengan kelebihan tenagaeletrik  tersebut, maka stesyen Janaeletrik Wap Malim Nawar telah ditutup dan digunakan hanya apabila keadaan memerlukan.

 

          Stesyen Janaeletrik Wap Malim Nawar yang mula digunakan pada hari ini dalam tahun 1928 merupakan satu perkembangan awal yang penting di dalam sejarah pembangunan dan penggunaan tenaga elektrik di negara ini.