PERASMIAN PENYEMPURNAAN LEBUHRAYA UTARA-SELATAN
Posted by azilawani on 25/08/2011 09:09:47

Tarikh Peristiwa : 8. 9. 1994

 

Pada hari ini dalam tahun 1994, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad telah menyempurnakan perasmian Lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Rehat dan Rawat Rawang Selangor. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Leo Moggie, beberapa anggota kabinet, timbalan-timbalan menteri, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyidin Yassin, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Koh Tsu Koon. Lebuhraya ini mempunyai jarak panjang sekitar 847.7 km dan dibina dalam 7 tahun. Pembinaan telah dimulakan pada tahun September 1988 dan dirasmikan pada September 1994. Pelaksanaan projek lebuhraya ini merupakan antara projek kerajaan terawal yang menggunakan kaedah penswastaan. Berdasarkan kaedah ini sesuatu projek yang penting dapat dilaksanakan dengan lebih efektif tanpa membebankan kewangan kerajaan. Di samping itu juga ia memberikan faedah besar kepada pihak pengguna kerana berpeluang menikmati kemudahan yang berkualiti dan kerajaan pula berjaya memperoleh kutipan cukai lebih awal dari masa yang sepatutnya. Kejayaan pembinaan projek lebuhraya ini juga membuktikan keupayaan pengurusan bumiputera adalah sangat baik dan setanding dengan pengurusan pihak lain. Sesungguhnya melalui pembinaan projek lebuhraya Utara-Selatan pelbagai kawasan yang berdekatan dengan laluannya telah berjaya menerima kesan perkembangan yang positif dari segi ekonomi.