PERASMIAN SEKOLAH MENENGAH AGAMA LELAKI NEGERI PERAK YANG PERTAMA
Posted by azilawani on 23/08/2011 09:33:24

Pada hari ini dalam tahun 1959, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Yussuf Izzuddin Shah, telah merasmikan pembukaan Sekolah Menengah Agama Laki-laki Kerajaan negeri Perak.  Sekolah ini adalah sekolah menengah agama yang pertama di Malaysia yang menggabungkan pelajaran agama dan akademik di peringkat Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam tahun 1960, sekolah ini dinamakan, Sekolah Izzudin Shah mengambil sempena nama Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Sekolah ini dibina di Tiger Lane, Ipoh, bertujuan untuk menampung pelajar-pelajar Melayu Perak yang tidak dapat melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah berasrama penuh supaya dapat meneruskan pelajarannya yang berorentasikan keagaman. Ia bertujuan untuk memberikan pendidikan agama secara formal dan sistematik selaras dengan pendidikan moden untuk melahirkan pegawai-pegawai tadbir, eksekutif, pendidikan dan ulamak yang sentiasa berpegang teguh dengan nilai-nilai agama. Ia juga bertujuan untuk menampung pelajar-pelajar di negeri Perak supaya dapat menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi. Pada mulanya sekolah ini ditadbirkan oleh sebuah Lembaga Pengurus yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak. Lembaga Pengurus ini bertanggungjawab merumus dasar dan polisi sekolah, mengawas pentadbiran sekolah, merancang sukatan pelajaran dan Kurikulum, pemilihan guru-guru akademik dan rabie thanawi. Pada tahun 1978, sebuah Lembaga Pentadbir ditubuhkan yang bertujuan untuk melicinkan pengawalan dan pentadbiran sekolah serta membuat perancangan dan dasar sekolah. Lembaga ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kedua-dua Lembaga Pengurus dan Lembaga Pentadbir ini adalah juga bertanggungjawab kepada Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Ta’ayah. Pada peringkat awalnya, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan, dua tingkat asrama pelajar dengan tingkat bawah digunakan sebagai bilik darjah untuk menampung seramai 80 orang pelajar kumpulan pertama. Pada hari ini, Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah mempunyai lima blok asrama dua tingkat dan lebih kurang 500 orang pelajar; dua blok bangunan untuk bilik darjah, sebuah Dewan Makan, sebuah Dewan Besar (Dewan Tan Sri Ghazali Jawi), bangunan rumah pengetua, guru dan rumah kakitangan. Beberapa bangunan baru akan dibina bagi menampung keperluan pelajaran dan makmal sains.