PERISTIWA MUZIUM SARAWAK
Posted by azilawani on 22/08/2011 12:12:07

Tarikh Peristiwa : 4-08-1891

 

          Pada hari ini dalam tahun 1891, Muzium Sarawak di Jalan Tun Haji Openg, Kuching telah dibuka dengan rasminya.

 

          Muzium Sarawak adalah hasil dari daya usaha Raja Sarawak Kedua, Raja Charles Brooke dan Alfred Russell Wallace seorang penyelidik sejarah asal usul manusia dan kebudayaan yang erkemuka di dunia pada masa itu. Sebelum pembinaan Muzium Sarawak dimulakan pada tahun 1888, Raja Charles Brooke telah banyak mengumpulkan bahan-bahan sebagai kegemaran sahaja, tetapi akhirnya beliau sedar tentang kepentingan memelihara dan melindungi bahan-bahan sejarah tempatan dan keaslian kebudayaan penduduk tempatan dari musuh dan dicemari kebudayaan asing. Untuk tujuan tersebut, Muzium Sarawak telah dibina dan telah siap pada tahun 1891.

 

          Semenjak pembukaannya, muzium ini dijadikan tempat mengumpul dan mempamerkan bahan-bahan sejarah, bahan-bahan hasil kerja tenaga penduduk tempatan dan contoh-contoh haiwan yang terdapat di negeri Sarawak. Hasil dari perkembangan yang menggalakkan muzium ini telah diperbesarkan. Bangunan tambahan telah dibina mengikut reka bentuk asal pada tahun 1911. Pada tahun 1955, sebuah lagi bangunan tambahan yang berasingan dengan bangunan asal telah dibina bagi menempatkan pejabat pentadbiran dan akrib.

 

          Terdapat sebanyak 16 buah dewan pameran seluas 1,397 meter persegi yang menempatkan bahagian Ethografi, Akeologi, Giologi, Sosiologi dan Habitat. Sebahagian daripada dewan-dewan itu boleh diubahsuaikan mengikut reka bentuk tertentu dari masa ke semasa untuk pameran sementara.

 

          Sebuah bengkel disediakan bagi kerja-kerja membersih dan memperbaiki bahan-bahan yang diterima dan yang dipamerkan Kerja-kerja penyelidikan, menganalisa dan mengasingkan bahan-bahan giologi mengikut struktur dan pengkelasan tertentu dilakukan di sebuah makmal. Disamping itu, terdapat sebuah perpustakaan untuk kemudahan penyelidikan dan rujukan seperti bahan-bahan bacaan mengenai arkiologi, anthropoligi, sosiologi, ekologi, sejarah tempatan dan panduan-panduan pemeliharaan. Muzium ini juga mempunyai sebuah unit fhotografi untuk menyediakan gambar-gambar, slide, filem dan maikofilem mengenai kebudayaan, adat resam, agama penduduk tempatan dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan sejarah tempatan.

 

          Muzium Sarawak juga menerbitkan buku-buku berkaitan dengan hal ehwal Sarawak, gambar-gambar, pos kad, buku-buku panduan ringkas dan Jurnal Muzium Sarawak serta menerima terbitan-terbitan dari luar negeri.

          Muzium Sarawak yang dirasmikan pada hari ini dalam tahun 1891 ini adalah Muzium yang kedua tertua di negara ini, dan salah sebuah muzium yang terbaik di Asia Tenggara.