PELANCARAN BANGUNAN IBU PEJABAT KUB MALAYSIA BERHAD
Posted by azilawani on 23/05/2011 11:10:09

Pada hari ini dalam tahun 2000, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad telah melancarkan bangunan KUB.com di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. Bangunan ini dibeli dengan harga 64.9 juta dan menempatkan 11 syarikat KUB yang menceburi bidang perniagaan industri teknologi maklumat dan komunikasi. Turut hadir sama di dalam majlis ini ialah Pengerusi KUB, Datuk Hassan Harun. Kejayaan KUB dianggap sebagai lambang kebolehan dan kejayaan orang Melayu dalam bidang perniagaan dan pendidikan. Perdana Menteri mengingatkan bahawa KUB harus mengambil pendekatan pengurusan modal yang cekap dan tidak membiarkan dirinya menjadi alat politik sesetengah pihak. Ini kerana campur tangan politik dalam KUB tidak mendatangkan kesan positif malah sebaliknya boleh menyebabkan ia muflis. Penglibatan KUB dalam bidang pendidikan dan teknologi komputer amat penting dan berguna. Sebagai contoh Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan Institut Tun Abdul Razak (ITAR) sangat membantu golongan bumiputera untuk maju dan menguasai bidang ilmu k-ekonomi dan k-pengetahuan. Hari ini KUB terus berkembang pesat dan sentiasa berdaya saing menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu. KUB telah berjaya mengubah pemikiran sesetengah pihak yang memandang rendah keupayaan orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan.