KABINET LULUS LANDASAN KERETA API PENDULUM
Posted by azilawani on 20/05/2011 17:04:14
Pada hari ini dalam tahun 1996, kabinet Malaysia telah meluluskan pembinaan kereta api pendulum yang senget tetapi laju. Fasa pertama projek pembinaan landasan bekembar kereta api ini akan melibatkan jarak sejauh 174.7 kilometer antara Rawang dan Ipoh. Penggunaan kereta api pendulum ini merupakan satu cara baru kerajaan dalam melaksanakan revolusi ketiga pembangunan ekonomi. Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, penggunaan keretapi yang serupa telah lama dilaksanakan di negara-negara seperti Jepun dan Itali. Ia mempunyai keupyaan bergerak dengan lebih pantas dari kebanyakan keretapi biasa. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh keretapi ini ialah 250 kilometer/jam untuk jalan lurus dan 120 kilometer/jam untuk laluan selekoh. Idea untuk membina projek kereta api ini telah disuarakan oleh Tun Mahathir Mohamad semasa beliau membuat lawatan kerja ke Jepun. Pelaksanaan projek ini juga mempunyai faedah ekonomi tersendiri selain mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Kawasan Tanjung Malim di Perak dan Serendah di Selangor akan dapat menikmati faedah besar apabila projek ini selesai sepenuhnya kelak. Antara syarikat yang telah menyatakan minat menlaksanakan projek ini ialah Diversified Resources Berhad, Ferroviara dari Itali, Mitsui & Co Ltd, Hitachi Ltd dari Jepun dan syarikat Bombardier Inc dari Kanada.