PERLANTIKAN TUN SYED SHEH BIN SYED HASSAN BARAKBAH SEBAGAI GABENOR PULAU PINANG
Posted by azilawani on 03/03/2011 11:20:56
Pada hari ini dalam tahun 1969, DYMM Tuanku Nasirruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin berkenan mengurniakan surat tauliah perlantikan kepada Tun Syed Sheh bin Syed Hassan Barakbah sebagai Gabenor Pulau Pinang. Perlantikan itu bagi menggantikan Tun Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahbuddin yang meninggal dunia pada 31 Januari 1969.  Upacara mengurniakan surat tauliah kepada Tun Syed Sheh Barakbah sebagai Gabenor Pulau Pinang yang baru ini diadakan di Istana Negara dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Wong Pow Nee; Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Azmi bin Mohamad; Speaker Dewan Rakyat, Dato’ C.M. Yusof bin Sheikh Abdul Rahman dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kader Yusof. Selain itu, upacara mengangkat sumpah juga turut diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang, Tun Syed Shah pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara.