JEPUN MENYERAH DIRI DI KUALA LUMPUR
Posted by azilawani on 10/04/2009 11:50:09

Pada hari ini dalam tahun 1946, satu upacara penyerahan kuasa oleh Tentera Jepun kepada Kerajaan British telah dijalankan di Victoria Institution, Kuala Lumpur di mana Jeneral-jeneral Jepun menyerahkan Pedang Samurainya kepada Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy, Pegawai Pemerintah Command Malaya. Penyerahan pedang samurai oleh Jeneral-jeneral Jepun itu menandakan peringkat terakhir penyerahan kuasa oleh pihak tertinggi tentera Jepun di Tanah Melayu. Penyerahan kuasa peringkat awal dilakukan secara beramai-ramai di akhir tahun 1945, di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur.Penyerahan diri itu adalah ekoran daripada pengisytiharan tamat perang dunia kedua di mana Jepun mengaku kalah tanpa syarat pada 15 Ogos 1945, selepas bandar Hiroshima dan Nagasaki dimusnahkan oleh bom atom pihak Berikat. Tentera Jepun terpaksa berundur keluar dari Tanah Melayu. Dengan penyerahan kuasa itu berakhirlah zaman pendudukan Jepun selama tiga tahun setengah di Tanah Melayu. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu sekarang hanya diingati di sekitar penderitaan, keganasan, kemiskinan dan juga ‘ubi kayu’ yang menjadi satu makanan utama. Bagaimanapun pendudukan Jepun itu telah menjatuhkan darjat dan pengaruh British dalam pandangan penduduk-penduduk tempatan terutamanya di kalangan pemimpin-pemimpin nasionalis seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Mohamad dan Dr Burhanuddin Alhelmi. Kumpulan ini dengan restu pemerintahan Tentera Jepun telah menubuhkan PETA (Pembela Tanah Air-(pasukan bersenjata KMM Kesatuan Melayu Muda) dan KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dalam lengkongan Indonesia Raya. Di antara tahun-tahun 1945-1948, golongan nasionalis Melayu radikal ini telah bergabung dengan kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu radikal yang lain dalam satu "front" - PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan bersatu dengan AMCJA (All Malaya Council of Joint Action) untuk menentang syor-syor dan pelaksanaan Perjanjian Persekutuan yang dipersetujui oleh UMNO itu.Dalam tempoh masa di antara penyerahan kuasa pemerintahan Jepun dan pengisytiharan pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA) Tanah Melayu berada di dalam keadaan huru hara. Walaubagaimanapun Kerajaan Pentadbiran Tentera British yang memerintah selama hampir tujuh bulan telah dapat menegakkan kembali kedaulatan undang-undang dan keamanan.

Berkaitan:

Koleksi Gambar - 1998/0007119