SEKOLAH MENENGAH DATO’ ABDUL RAZAK, TANJUNG MALIM
Posted by on 22/12/2008 16:03:02

Pada hari ini dalam tahun 1958, Menteri Pelajaran, Encik Mohd Khir Johari telah  mengisytiharkan nama baru Sekolah Menengah Melayu, Tanjung Malim sebagai Sekolah Dato’ Abdul Razak. Penamaan semula sekolah tersebut telah mengambil sempena nama Timbalan Perdana Menteri Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang juga merupakan Menteri Pelajaran yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Bangunan baru sekolah yang terletak di Tanjung Malim, Perak ini telah siap dibina pada 5 Januari 1958 dengan kos sebanyak $ 1.5 juta, merupakan salah sebuah sekolah yang termoden di Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu. Sekolah ini telah menempatkan seramai 238 pelajar yang terdiri daripada anak-anak Melayu yang datang daripada kampung-kampung dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Encik Ariffin Mohd. Nam telah dilantik sebagai Guru Besar yang pertama untuk mentadbir sekolah dengan bantuan 11 orang guru. Sesungguhnya penubuhan sekolah ini adalah berdasarkan kepada cadangan-cadangan yang termaktub dalam Penyata Razak 1956 yang bertujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid Melayu di sekolah-sekolah rendah melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat menengah.