TUN DR. ISMAIL MENINGGAL DUNIA
Posted by on 25/06/2008 15:53:25

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1973,  Tun  Dr.  Ismail  bin  Datuk  Abdul  Rahman,  Timbalan  Perdana  Menteri  Malaysia  telah  pulang  ke  rahmatullah.  Allahyarham  Tun  Dr. Ismail  anak  kelahiran  Johor  Bahru  merupakan  penuntut  Melayu  pertama berkelulusan   dari  sebuah  Universiti  di  Australia  pada  tahun  1945.  Kerjaya  politik  Allahyarham   bermula  sebagai  anggota  tidak  rasmi  dalam  Majlis  Undangan  Negeri  Johor.  Sepanjang  kerjaya  politiknya  beliau  pernah  memegang  potfolio  Menteri  Sumber-Sumber Alam,  Menteri  Perdagangan  dan  Perindustrian,  Menteri  Hal  Ehwal  Luar  Negeri  dan  Menteri  Hal  Ehwal  Dalam  Negeri  dan  Keadilan.  Beliau  juga  merupakan  salah  seorang  yang  turut  serta  dalam  delegasi   yang  merundingkan  Kemerdekaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  di  London  pada  tahun  1956  bersama-sama  dengan  YTM  Tunku  Abdul  Rahman.  Allahyarham  juga  merupakan  Duta  Melaysia  yang  pertama  dilantik  ke  Amerika  Syarikat  dan  Ketua  Perwakilan  Tetap  Bangsa-Bangsa  Bersatu.  Sebagai  mengenang  jasa  dan  khidmat  bakti  Allahyarham yang  telah  disumbangkan   kepada   negara,  Allahyarham   telah  diberi  penghormatan  untuk  disemadikan  dengan  penuh  penghormatan  di Makam  Pahlawan,  Masjid  Negara  Kuala Lumpur.