PERASMIAN BANGUNAN IBU PEJABAT LEMBAGA LETRIK NEGARA
Posted by on 11/11/2008 12:05:07

Pada hari ini dalam tahun 1966, Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Letrik Negara atau LLN di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara itu ialah Pengerusi LLN, Dato' Haji Osman Talib. Dalam ucapan perasmiannya YTM Tunku menyatakan bahawa LLN telah dapat memberi bekalan letrik untuk memenuhi segala keperluan bagi pembangunan negara. YTM Tunku menyatakan bahawa kerajaan patut merasa bangga dengan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Lembaga Letrik Negara dan Tunku juga menyatakan bahawa adalah menjadi dasar kerajaan untuk membantu LLN bagi mencapai tujuannya. Sehubungan itu Tunku berharap LLN akan meluaskan perkhidmatannya ke kawasan-kawasan yang belum lagi mempunyai bekalan letrik. Pengerusi Lembaga Letrik Negara Dato' Haji Osman Talib pula dalam ucapannya telah menyatakan bahawa lembaga itu akan mengadakan lebih banyak lagi bekalan tenaga letrik untuk perusahaan dan juga bekalan ke kawasan luar bandar. Dato' Haji Osman menambah di bawah Rancangan Pembangunan 5 tahun, iaitu tahun 1961/1965. LLN telah mengadakan bekalan letrik untuk 422 buah kampung di seluruh negara. Menurut beliau lagi bekalan-bekalan ini telah memberi kemudahan kepada kira-kira 300,000 orang penduduk luar bandar dan ini telah memakan belanja lebih dari 16 juta yang mana sebanyak 12 juta adalah sumbangan dari kerajaan. Sesungguhnya perasmian Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Letrik Negara pada hari ini dalam tahun 1966, diharap dapat membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, kerana LLN merupakan satu nadi pengerak yang terpenting dalam pembangunan dan kemajuan negara.