PERASMIAN HALAMAN PUTERA JALAN MELAKA, KUALA LUMPUR
Posted by on 07/11/2008 12:03:42

Pada hari ini 26.11.1981, Halaman Putera di Ibu Pejabat Bank Bumiputera Jalan Melaka telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Pengiran Othman Rauf. Halaman Putera itu diusahakan oleh Bank Bumiputera adalah satu-satunya "taman mini" yang lengkap dengan tempat duduk, pentas sudut seni serta tanaman bunga-bungaan yang dibina di pinggir seberang jalan di tengah-tengah ibu kota. Kewujudannya dapat menjadikan pemandangan ibu kota lebih indah dan juga menyediakan tempat rehat tempat orang ramai. Seni tanaman yang menghiasi sekitar laman itu memberikan keunikan tersendiri kepada laman di tengah-tengah kota ini. Dalam ucapan perasmiannya Datuk Pengiran Othman menyatakan bahawa orang ramai dan syarikat-syarikat swasta perlu membantu kerajaan dengan melibatkan diri dalam usaha-usaha mengindahkan kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Beliau juga membidas sikap sesetengah orang ramai yang tidak berdisiplin dengan membuang sampah di merata tempat. Sikap sebegini menurut beliau hendaklah dihindari demi menjaga kebersihan bandar raya. Menurut beliau lagi sikap yang tidak bertanggungjawab sesetengah orang ramai inilah menyebabkan pihak Dewan Bandar raya mengenakan tindakan yang tegas bagi mendisiplinkan orang ramai. Ini termasuklah menguatkuasakan Akta Kebersihan, Akta Lalu Lintas dan lain-lain. Dengan wujudnya Halaman Putera yang dirasmikan pada hari ini dalam tahun 1981, itu moga-moga hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang indah dan bersih akan menjadi kenyataan khususnya dengan sokongan seluruh masyarakat ibu kota, Kuala Lumpur.