PERASMIAN PEMBUKAAN PENGKALAN FERI DI PULAU PINANG
Posted by on 23/10/2008 16:52:40

Pada hari ini 23.9.1959, dua pengkalan feri yang terletak di Pulau Pinang dan Butterworth telah dirasmikam oleh (Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu) YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pengkalan di Pulau Pinang dinamakan Pengkalan Raja Tun Uda manakala di Butterworth pula dinamakan Pengkalan Sultan Abdul Halim. Perkhidmatan feri adalah projek pertama yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang memandangkan bertambahnya perhubungan, dan perdagangan di antara pulau itu dengan tanah besar. Pada tahun 1957 perkhidmatan feri 'Pulau Pinang' mula dilancarkan untuk penumpang dan kenderaan jenis besar. Namun begitu perkhidmatan ketika itu masih lagi tidak dapat menampung keperluan orang ramai untuk perjalanan ulang alik dari Pulau Pinang - Butterworth. Pada awal tahun 1959 empat buah feri telah ditambah iaitu Feri Pulau Aman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pualu Tioman. Dan pada hari ini dalam tahun 1959, Pengkalan Raja Tun Uda dan Pengkalan Sultan Abdul Halim telah dibuka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan sempurna. Pengkalan-pengkalan ini memulakan perkhidmatan pada Oktober 1959. Dalam upacara pembukaan itu YTM Tunku Abdul Rahman, menyatakan nama pengkalan Raja Tun Uda adalah sempena nama Gavenor Pulau Pinang yang pertama. Ini adalah sebagai menghargai jasa beliau yang telah berkhidmat dengan cemerlang di Pulau Pinang. Sementara pengkalan di Butterworth pula dinamakan Sultan Abdul Halim, iaitu nama Sultan Kedah Darul Aman. Hasil dari usaha Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang perkhidmatan feri telah dapat diadakan pada tiap-tiap 5 minit, dengan perjalanaan ulang-alik mengambil masa 15 minit sahaja. Pada tahun 1972 perkhidmatan feri telah dapat menampung 2.6 juta unit trafik kenderaan dan 16.9 juta penumpang. Kenderaan dan 17.9 juta penumpang pada tahun 1973. Sekarang perkhidmatan feri bertambah baik dan sempurna dengan terbinanya pengkalan-pengkalan batu dan feri-feri, khusus untuk membawa kenderaan.