GERAKAN MENENTANG KOMUNIS TERBESAR
Posted by on 23/10/2008 16:08:37

Pada hari ini 25.8.1957, 2000 orang penduduk Tanjung Malim telah mengadakan satu gerakan menentang komunis. Gerakan menentang komunis yang terbesar pernah diadakan di Tanah Melayu ini telah dimulakan sejak awal pagi 25 Ogos 1957. Dua ribu orang awam tersebut telah memasuki hutan belantara dan menyeru 5 orang pengganas komunis yang masih tinggal dalam kawasan hutan Tanjung Malim. Di udara kapal terbang yang mempunyai alat pembesar suara yang dapat didengar sehingga 4 batu jauh telah digunakan mengarah pengganas-pengganas komunis keluar menyerah diri. Gerakan menentang komunis ini diadakan selama 4 jam sejak jam 9.00 pagi dan hutan belantara yang dimasuki oleh 2000 orang awam itu seluas 30,000 ela persegi. Kebanyakan orang awam yang menyertai gerakan ini ialah anggota-anggota Jawatankuasa Rakyat Setia Tanjung Malim. Semasa orang awam meredah hutan ini mereka dilindungi oleh askar-askar dari Batalion ke-5 Askar Melayu serta 13 unit Pasukan Polis Persekutuan serta tentera udara. Sesungguhnya gerakan rakyat menentang komunis pada hari ini dalam tahun 1957  tersebut merupakan satu perpaduan dan kerjasama semua pihak untuk membantu kerajaan membanteras komunis.