PEMBUKAAN RASMI EMPANGAN CHENDEROH
Posted by on 14/10/2008 16:47:16

Pada hari ini 28.6.1930, Empangan Chenderoh yang terletak 13 batu ke utara bandar Kuala Kangsar, Perak telah dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi. Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Iskandar Shah telah turut sama menyaksikan upacara ini berserta dengan orang-orang kenamaan negeri. Empangan Chenderoh merupakan satu-satunya projek hidro letrik yang terkawal di negara ini. Pembinaanya mula dirancang dalam tahun 1926. Kerja-kerja pembinaanya dimulakan dalam tahun 1928 dan telah siap sepenuhnya dalam tahun 1930. Empangan yang menelan belanja hampir $20 juta itu dikendalikan oleh The Perak River Hydro-Electric Power Company Limited. Panjangnya empangan ini ialah 640 kaki dan tingginya 90 kaki. Empangan ini dapat mengeluarkan kira-kira 31 ribu kilowatts tenaga letrik. Tujuan awal yang utama pembinaan empangan ini ialah bagi mendapatkan kuasa letrik untuk digunakan dalam perusahaan melombong bijih timah di Lembah Kinta. Dalam pada itu, banjir yang berlaku dalam tahun 1897 dan tahun 1926 telah melanda kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Sungai Perak. Daripada dua kejadian banjir besar ini, kerajaan Kolonial Inggeris di Perak telah merancangkan pembinaan sebuah empangan untuk mengurangkan kejadian bencana banjir yang berlaku setiap tahun di Sungai Perak di samping untuk mendapatkan tenaga letrik. Pembinaan empangan ini telah dapat menakung sebanyak 50 juta gelen air dan membentuk sebuah tasik seluas 10 batu persegi. Tasik ini telah menenggelamkan beberapa kawasan pertanian seperti sawah padi dan dusun buah-buah serta kampung-kampung terutamanya kampung Beng dan Kampung Batu Ring. Sungguhpun demikian, ikan-ikan yang hidup di dalam tasek ini boleh menambahkan mata pencarian penduduk-penduduk yang tinggal di daerah tersebut.