TENGKU KUDIN MENINGGAL DUNIA
Posted by on 13/10/2008 16:45:55

Pada hari ini 25.5.1909 Tengku Dhiauddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Halim Shah atau lebih dikenali sebagai Tengku Kudin telah meninggal dunia di Tanjung Kelawai Pulau Pinang. Tengku Kudin adalah seorang tokoh yang banyak melibatkan dirinya dalam pergolakan politik di Selangor dalam tahun 1870an. Beliau adalah kerabat Diraja Negeri Kedah iaitu adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah Sultan Negeri Kedah dan mendapat pendidikan Inggeris di Negeri Kedah dalam tahun 1867.  Tengku Kudin telah berangkat ke Negeri Selangor dan berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Samad, Selangor iaitu Raja Antah. Kedatangan Tengku Kudin ke Negeri Selangor dan perkahwinan dengan Raja Antah bekas tunangan Raja Mahadi telah menimbulkan pergolakan politik yang semakin hebat di Negeri Selangor yang ketika itu berada di dalam keadaan  kacau bilau.  Raja Mahadi yang menuntut kuasanya menduduki Klang dari Raja  Abdullah. Raja Mahadi telah menguasai seluruh Daerah Klang dan mengenepikan kekuasaan Sultan Abdul Samad yang menyokong Raja Abdullah.  Ketibaan Tengku Kudin telah memberi jalan baru kepada Sultan Abdul Samad untuk mengalahkan Raja Mahadi. Selepas perkahwinan Tengku Kudin dengan Raja Antah, Tengku Kudin menetap di Langat dan telah dilantik sebagai wakil mutlak Sultan Abdul Samad untuk memerintah dan menjalankan pentadbiran yang berkaitan dengan Negeri Selangor bagi pihak Sultan. Sultan telah mengeluarkan surat kuasa pada 26 Jun 1868.  Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja dari Raja Mahadi tetapi juga anak-anak Raja Selangor yang lain termasuk Dato' Bandar Langat sendiri. Keadaan tidak puas hati ini telah merebak hinggalah menyebabkan meletusnya perang Klang pada akhir tahun 1869 yang melibatkan Tengku Kudin dan Raja Ismail di satu pihak dan Raja Mahadi serta anak-anak Raja Selangor yang lain di pihak yang lain. Bagaimana pun Tengku Kudin telah berjaya mengalahkan Raja Mahadi dan pengikutnya dalam perang ini dan beliau telah diberikan kuasa memerintah dan melantik penghulu-penghulu serta membuka tanah di Daerah Klang. Beliau kemudiannya telah membuka kawasan-kawasan perlombongan dan tanah-tanah untuk tanaman padi, kopi dan lada hitam di Daerah Klang.  Tengku Kudin juga adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kemasukan Inggeris di Negeri Selangor.  Penglibatan ini adalah berpunca dari tindakannya yang meminta bantuan dari Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura supaya memberikan bantuan kepadanya dalam peperangan di Klang.  Di samping itu pada bulan November tahun 1873 Tengku Kudin telah menulis surat meminta bantuan dari Sir Andrew Clarks untuk menghapuskan lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Selangor. Menjelang 22 Disember 1873 Tengku Kudin telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta seorang Residen bagi Klang dan Selangor dan akhirnya pada 18 Jun 1874 Sir Frank Swettenham telah dilantik  sebagai Penolong Residen Selangor dan dengan ini bermulalah campurtangan Inggeris secara langsung di Negeri Selangor. Tengku Kudin juga adalah orang yang pertama dari kalangan pembesar-pembesar Melayu yang bertanggungjawab terhadap perlaksanaan pentadbiran British di Negeri Selangor apabila ia telah dilantik sebagai presiden pertama bagi Majlis Mesyuarat Negeri Selangor 18 April 1877.  Kegiatan politik Tengku Kudin di Negeri Selangor mulai pudar selepas pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri Selangor yang menghadkan kuasa-kuasa pentadbiran di Negeri Selangor.  Ini menyebabkan beliau meminta untuk bersara dari Majlis Mesyuarat Negeri Selangor pada bulan Ogos 1877. Permohonan ini telah dipersetujui oleh baginda Sultan dan beliau telah diberikan pencen sebanyak 500 ringgit sebulan seumur hidup dan 200 ringgit sebagai bayaran bagi isterinya serta 30 ribu ringgit lagi sebagai bayaran pampasan. Beliau Kemudiannya mengundurkan dirinya dari Negeri Selangor dan kembali ke Negeri Kedah dan kemudiannya menetap di Tanjung Kelawai Pulau Pinang hinggalah ke hari ini pada 1909 bila beliau meninggal dunia dan dikebumikan di perkuburan Diraja di Langgar, Alor Setar, Kedah.