KEJOHANAN SUKAN KEBANGSAAN ORANG CACAT KE 6/JEMPUTAN ASEAN 1992
Posted by on 07/10/2008 11:51:21

Kebajikan untuk orang-orang cacat sentiasa diberikan perhatian berat oleh pihak Kerajaan dalam semua bidang kehidupan termasuk kesukanan.   Kecacatan seseorang tidak bermakna mereka tidak dapat mencurahkan bakti mereka dalam bidang kesukanan demi mengharumkan nama negara di mata dunia. Pada hari ini 17.8.1992 D.Y.M.M. Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sultan Terengganu telah berkenan berangkat mencemar Duli menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Kebangsaan Orang Cacat ke 6/Jemputan ASEAN 1992, yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kejohanan Sukan  tersebut berlangsung selama 3 hari, dianjurkan bersama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Majlis Sukan Orang-orang Cacat Malaysia, Yayasan Kebajikan negara, Kerajaan Negeri Terengganu menerusi pelbagai Jabatan Negeri/Persekutuan, Pertubuhan Sukarela dan pihak swasta turut serta menyumbangkan bantuan kewangan dan tenaga dalam menjayakannya. Kejohanan disertai semua negeri disamping dua buah negara Asean iaitu Indonesia dan Singapura.  Seramai 400 petugas sukarela dan pegawai sukan tempatan membantu menyelenggarakan kejohanan itu. Sebanyak 284 acara (trek/padang dan renang) dipertandingkan untuk kelima-lima kategori kecacatan khususnya cacat pendengaran, cacat penglihatan, cacat anggota, cacat akal dan spastik. Dalam kejohanan itu Negeri Selangor menggondol Hadiah Pasukan Terbaik dengan memperolehi 61 pingat emas, 51 perak dan 52 gangsa.  Manakala Negeri Terengganu pula dipilih sebagai Johan dalam pertandingan Perbarisan. Melalui kejohanan itu juga telah dikenalpasti beberapa orang bakat baru di kalangan orang cacat untuk dipilih dan terus dilatih bagi mewakili negara di kejohanan peringkat Antarabangsa. Sesungguhnya dengan adanya kejohanan Sukan Kebangsaan Orang-orang Cacat, diharap akan meningkatkan lagi mutu dan prestasi sukan orang-orang cacat negara ini.  Di samping itu adalah diharapkan sebarang penghargaan serta pengiktirafan yang sewajarnya akan diberikan kepada mereka seperti mana yang diberikan kepada atlit biasa.