ENCIK KHIR JOHARI MENGUMUMKAN 3 PERKARA PENTING SEBAGAI USAHA MEMPERBAIKI KEDUDUKAN PELAJARAN ANAK-ANAK MELAYU
Posted by on 26/09/2008 15:24:34

Pelbagai usaha telah dan akan diambil oleh Kerajaan untuk meninggikan tahap pelajaran tinggi di kalangan anak-anak Melayu di negara ini terutama dalam bidang pelajaran sains, teknik dan lain-lain.  Kerajaan sentiasa sedar dan berusaha supaya keupayaan anak-anak Melayu dalam mata pelajaran tersebut setanding atau seganding dengan anak-anak bangsa lain di negara ini. Pada hari ini 24.6.1968 Menteri Pelajaran Encik Khir Johari sewaktu berucap di tiga tempat berasingan iaitu di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Seberang Takir, di majlis perasmian Sekolah Menengah Makang dan di Majlis Hari Ibu Bapa Sekolah Panji Alam Terengganu telah memaklumkan bahawa terdapat 3 perkara penting dan utama untuk memperbaiki kedudukan pelajaran tinggi bagi anak-anak Melayu iaitu:-

  1. mengalihkan perhatian para pelajar dari lapangan sastera kepada cintakan pada sains dan teknik.  Guru-guru dari luar negeri akan diambil untuk membantu mengajar dalam mata pelajaran tersebut.
  2. merancangkan keluarga supaya sesuatu keluarga dapat mengatur kelahiran anak-anak mengikut kemampuan mereka, demi untuk kehidupan dan pelajaran yang lebih sempurna.
  3. memberi peluang kemewahan yang lebih kepada pelajar-pelajar sekarang ssupaya moral dan semangat mereka lebih tinggi dari murid-murid yang terdahulu.           

Menurut Encik Khir Johari, Kerajaan Kanada akan mengirimkan 5 orang guru sukarela untuk mengajar mata pelajaran matematik, elektronik, komputer, sains dan Bahasa Inggeris. Di samping itu pelajar-pelajar yang memasuki aliran sains akan di beri biasiswa yang lebih sebagai satu galakan atau dorongan kepada pelajar-pelajar tersebut. Sesungguhnya dengan adanya dorongan dan sokongan ibu bapa yang sepenuhnya kepada para pelajar dan guru-guru sekolah, diharap akan dapat menghasilkan generasi-generasi muda, pelajar yang akan berjaya dalam bidang sains dan teknologi serta lain-lain bidang yang mana akan membawa kebaikan dan kebanggaan kepada negara.