Announcement!

You are here : Memorial / The Tun Hussein Onn Memorial

The Tun Hussein Onn Memorial

 

Memorial Tun Hussein Onn ditubuhkan untuk menyimpan, memelihara dan mempamerkan dan menyebarkan maklumat serta memberi kemudahan rujukan dan penyelidikan selaras dengan arahan Jemaah Menteri menurut Memorandum No. 403/2074/97 bertarikh 1 Jun 1997. Berikutan itu, pada 22 Disember 1998, pihak kerajaan telah memutuskan supaya Memorial Tun Hussein Onn ini ditempatkan di Blok A, Kompleks Bukit Perdana, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. Memorial ini merupakan sebuah memorial kekal yang mempamerkan bahan-bahan berkaitan dengan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3.

Konsep pameran Memorial Tun Hussein Onn ini berdasarkan peristiwa mengikut kronologi dari awal termasuk era kempimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri hinggalan ke akhir hayat beliau. Memorial ini menjadikan sebahagian daripada warisan sejarah negara dan pelengkap kepada koleksi khazanah negara yang mengabdikan jasa dan sumbangan yang telah ditaburkan oleh Tun Hussein Onn selaku Ketua Negara.

Pameran

Aras 3 - Era Menteri

Lawatan pangunjung akan bermula di Aras 3 dengan pengenalan kepada Kompleks Integrasi yang mengandungi maklumat mengenai sejarah awal Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Fungsi dan Objektif Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan maklumat mengenai 4 orang Perdana Menteri yang pernah bertugas di pejabat ini.

Seterusnya pengunjung akan melalui Linkway yang merupakan pintu masuk ke ruang utama pameran yang memaparkan imej-imej Tun Hussein Onn bersama pemimpin-pemimpin dari dalam dan luar negara. Aras ini juga menumpukan kepada penglibatan awal Tun Hussein Onn dalam arena politik dan era kecemerlangan Tun Hussein Onn sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebagai Ketua Negara. Di aras ini juga terdapat replika Pejabat Tun Hussein Onn ketika menjadi Perdana Menteri di mana susunan bilik ini dikekalkan sepertimana asal. Segala aktiviti yang melibatkan dalam dan luar negara yang melibatkan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dipaparkan disini. Aras ini diakhiri dengan pameran anugerah dan penghargaan yang diterima di atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara.

Aras 2 - Biografi Tun

Pameran Aras 2 dimulakan dengan memperkenalkan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn yang memperlihatkan darah nasionalisme yang mengalir di kalangan anggota keluarganya bermula dari zaman datuknya yang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Johor pertama, diikuti peranan dan sumbangan besar yang dimainkan oleh bapanya sendiri, Dato' Onn bin Jaafar. Secara sepintas lalu diperkenalkan juga kepada beberapa tokoh dari keluarga Tun Hussein Onn yang turut sama terlibat dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Pengunjung juga diperkenalkan dengan lebih dekat riwayat hidup Tun Hussein Onn semasa di zaman kanak-kanak, alam persekolahan hingga kepada kerjaya yang pernah diceburi oleh Tun Hussein Onn sebelum mula bergiat aktif dalam arena politik. Di akhir lawatan ini pengunjung dibawa mengenali peranan dan sumbangan Tun Suhailah sebagai wanita pertama di samping isteri kepada Tun Hussein Onn


Aras 1 - Jasa dan Sumbangan, Pembina Bangsa

Aras 1 mempamerkan bahan-bahan berkaitan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Tun Hussein Onn melalui dasar-dasar yang telah dilaksanakan semasa era pemerintahannya. Aras ini juga memperlihatkan usaha-usaha yang dilakukan bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, toleransi dan hidup aman damai. Sumbangan Tun Hussein Onn masih dapat dirasai selepad persaraannya walaupun tidak lagi sebagai Perdana Menteri. Di akhir lawatan, pengunjung akan dibawa menyoroti saat-saat akhir Tun Hussein Onn sebagai seorang negarawan, sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Pameran Lain

Kompleks Bekas Pejabat Perdana Menteri
Kompleks bekas Pejabat Perdana Menteri ini terdiri daripada 2 tingkat dan pernah diduduki oleh 4 orang bekas Perdana Menteri Malaysia. Bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, diikuti Tun Abdul Razak, seterusnya Tun Hussein Onn dan terakhir oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berpindah ke Putrajaya.

Selain Pejabat Perdana Menteri, kompleks ini juga menempatkan bilik-bilik mesyuarat yang pernah digunakan oleh bekas-bekas Perdana Menteri seperti Bilik Mesyuarat Kabinet, Bilik Mesyuarat Perdana dan Bilik Mesyuarat Khas. Perabot dan peralatan di kompleks ini dikekalkan sebagaimana asal.

Majlis Gerakan Negara

Bilik Majlis Gerakan Negara ini terleak di tingkat 2 Blok B. Bilik ini merupakan bilik mesyuarat khas yang digunakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri untuk mengadakan mesyuarat dan membincangkan berkaitan hal-hal pembangunan negara dan melibatkan Menteri-menteri Kabinet. Semua perabot dan peralatan di dalam bilik ini disusun seperti asal sebagaimana ketika digunakan dahulu.


Visiting Time

Day
Time
Tuesday till Thursday
10.00 a.m. - 5.30 p.m.
Friday
10.00 a.m. - 12.00 p.m.
3.00 p.m. - 5.30 p.m.
Monday (except Public Holiday and School Holiday)
Close
Admission is Free.
Blok A, Kompleks Bukit Perdana
Jalan Dato' Onn
50480 KUALA LUMPUR
Tel. No : 03-20722663
Fax. No : 03-20722664

 

Updated Date :