Pengumuman!

Anda berada di sini : Memorial / Memorial Tun Hussein Onn

Memorial Tun Hussein Onn

 

12 FEBRUARI 1922- 29 MEI 1990

Memorial Tun Hussein Onn ditubuhkan untuk menyimpan, memelihara, mempamerkan dan menyebarkan maklumat serta memberi kemudahan rujukan dan penyelidikan selaras dengan arahan Jemaah Menteri menurut Memorandum No. 403/2074/97 bertarikh 1 Jun 1997. Berikutan itu, pada 22 Disember 1998, pihak kerajaan telah memutuskan supaya Memorial Tun Hussein Onn ini ditempatkan di Blok A, Kompleks Bukit Perdana, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur. Memorial ini merupakan sebuah memorial kekal yang mempamerkan bahan-bahan berkaitan dengan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3.

Ruang pameran di sini terbahagi kepada 3 aras iaitu bermula di Aras 3 dengan pengenalan kepada Kompleks Integrasi yang mengandungi maklumat mengenai sejarah awal Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Fungsi dan Objektif Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan maklumat mengenai 4 orang Perdana Menteri yang pernah bertugas di pejabat ini.

Aras ini juga menumpukan kepada penglibatan awal Tun Hussein Onn dalam arena politik dan era kecemerlangan Tun Hussein Onn sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan sebagai Ketua Negara. Di aras ini juga terdapat replika Pejabat Tun Hussein Onn ketika menjadi Perdana Menteri di mana susunan bilik ini dikekalkan sepertimana asal. Segala aktiviti yang melibatkan dalam dan luar negara yang melibatkan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dipaparkan disini. Aras ini diakhiri dengan pameran anugerah dan penghargaan yang diterima di atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara.


Pameran Aras 2 dimulakan dengan memperkenalkan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn yang memperlihatkan darah nasionalisme yang mengalir di kalangan anggota keluarganya bermula dari zaman datuknya yang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Johor pertama, diikuti peranan dan sumbangan besar yang dimainkan oleh bapanya sendiri, Dato' Onn bin Jaafar. Secara sepintas lalu diperkenalkan juga kepada beberapa tokoh dari keluarga Tun Hussein Onn yang turut sama terlibat dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor. Pengunjung juga diperkenalkan dengan lebih dekat riwayat hidup Tun Hussein Onn semasa di zaman kanak-kanak, alam persekolahan hingga kepada kerjaya yang pernah diceburi oleh Tun Hussein Onn sebelum mula bergiat aktif dalam arena politik. Di akhir lawatan ini pengunjung dibawa mengenali peranan dan sumbangan Tun Suhailah sebagai wanita pertama di samping isteri kepada Tun Hussein Onn.

Aras 1 mempamerkan bahan-bahan berkaitan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Tun Hussein Onn melalui dasar-dasar yang telah dilaksanakan semasa era pemerintahannya. Aras ini juga memperlihatkan usaha-usaha yang dilakukan bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, toleransi dan hidup aman damai. Sumbangan Tun Hussein Onn masih dapat dirasai selepas persaraannya walaupun tidak lagi sebagai Perdana Menteri. Di akhir lawatan, pengunjung akan dibawa menyoroti saat-saat akhir Tun Hussein Onn sebagai seorang negarawan, sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

 


BAHAN

i. Kad Pengenalan Ahli Parlimen
Kad Pengenalan Ahli Parlimen ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran:
Koleksi Galeria Perdana.

 

ii. Gelang Perhiasan
Gelang perhiasan yang dipakai oleh Hussein Onn ketika mengendalikan kes perbicaraan di mahkamah:
Bahan Pameran Aras 2

 

 

iii. Butang Lengan Baju
Butang lengan baju yang berukir huruf H.O yang membawa maksud Hussien Onn:
Bahan Pameran Aras 2

 

iv. Koleksi Nota
Koleksi nota hasil tulisan tangan Hussein Onn:
Bahan Pameran Aras 2

 

 

 


iv. “Maggie”
“Maggie”, buku terakhir yang dibaca oleh Tun Hussein Onn sebelum menghembuskan nafas terakhir:
Bahan Pameran Aras 2


Waktu Lawatan

Hari 
Masa
Selasa hingga Khamis
10.00 pagi - 5.30 petang
Jumaat
10.00 pagi - 12.00 tgh
3.00 petang - 5.30 petang
Isnin (kecuali semasa cuti umum dan cuti sekolah)
Tutup
Masuk adalah PERCUMA.
Blok A, Kompleks Bukit Perdana
Jalan Dato' Onn
50480 KUALA LUMPUR
No. Tel : 03-20722663
No. Faks : 03-20722664

 

TAHUKAH ANDA?

Pada 20 April 1981, Hussien Onn, Perdana Menteri telah merasmikan Pelancaran Skim Amanah Saham Nasional dalam usaha mengimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum, menyusun semula masyarakat dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Tarikh Kemaskini :