Pengumuman!

Anda berada di sini : Memorial / Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA

 

8 FEBRUARI 1903- 6 DISEMBER 1990

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra diwujudkan sebagai memperingati dan mengenang jasa-jasa Tunku, sumbangan dan kepentingan tempoh kepimpinan Almarhum Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.Dibuka dengan rasminya oleh Y.A.B Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 11 November 1994. Penubuhan Memorial ini adalah untuk mengenang dan memperingati jasa dan sumbangan bakti Almarhum Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan dan juga Perdana Menteri Malaysia yang Pertama dari tahun 1957 sehingga 1970. Memorial ini mempamerkan semua warisan berkaitan dengan Almarhum Tunku yang terdiri daripada pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, baju dan perabot. Terdapat juga sudut tayangan audiovisual/filem mengenai Almarhum Tunku.

Memorial ini juga mengekalkan Bangunan Residensi yang didiami oleh Almarhum Tunku dari tahun 1956 sehingga 1970. Bangunan Residensi yang menjadi sebahagaian utama memorial ini adalah salah satu dari tarikan utama kedatangan pelawat ke Memorial ini. Ini adalah kerana bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini masih dikekalkan bentuk asalnya dan dijadikan tempat pameran bahan-bahan asal kepunyaan Almarhum Tunku sebagai Perdana Menteri, megikut kedudukan asal.

Memorial ini juga akan mempamerkan semua warisan berkaitan dengan Almarhum Tunku, memelihara dan memberi kemudahan penyelidikan ke atas bahan-bahan semasa pentadbiran Almarhum Tunku.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra ini merangkumi tiga bangunan penting iaitu bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan dua buah bangunan baru di kiri dan kanan bangunan Residensi. Bangunan Residensi dikekalkan sebagaimana asalnya dan dijadikan sebagai tempat pameran di mana bahan-bahan asal kepunyaan Almarhum Tunku, sebagai Perdana Menteri dikekalkan mengikut kedudukan asal.

Dua buah bangunan baru dibina bagi menempatkan ruang-ruang pameran, tempat simpanan bahan dan ruang-ruang kerja iaitu Blok A di sebelah kiri dan Blok B di sebelah kanan.

BAHAN

i. Meja Pengisytiharan Penubuhan Malaysia



Meja ini telah digunakan semasa upacara deklarasi Pengisytiharan Penubuhan Malaysia oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka pada 16.09.1963:
Bahan Pameran Tingkat 3


ii. Telefon



Telefon yang digunakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra sewaktu menjadi Perdana Menteri:
Bahan Pameran Tingkat 3




iii. Bola “Pesta Bola Merdeka”



Bola “Pesta Bola Merdeka” yang pertama di mana terdapat
tandatangan pemain-pemain yang menyertai pesta bola merdeka 1957:
Bahan Pameran Tingkat 1




iv. Bush Jacket





Bush Jacket YTM Tunku Abdul Rahman Putra semasa
upacara pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963
di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur:
Koleksi Memorial Tunku Abdul Rahman.

 


v. Plaza Ukiran Granit Hitam




Plaza Ukiran Granit Hitam di mana terdapat sebuah ukiran imej Almarhum Abdul Rahman daripada granit hitam dan 32 buah batu granit hitam yang mencatatkan peristiwa-peristiwa penting berkaitan dengan Almarhum Tunku.

 

Waktu Lawatan

Hari
Masa
Selasa hingga Khamis
10.00 pagi - 5.30 petang
Jumaat
10.00 pagi - 12.00 tgh
3.00 petang - 5.30 petang
Isnin (kecuali semasa cuti umum dan cuti sekolah)
Tutup
Masuk adalah PERCUMA.
Jalan Dato Onn,
50480 KUALA LUMPUR.
No. Tel : 03-26947277
No. Faks : 03-26947187

 

TAHUKAH ANDA?

Pada 26.1.1962, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, menjadi Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang pertama. (Sumber: Hari Ini Dalam Sejarah. Jilid V)

Tarikh Kemaskini :